Kaedah penyimpanan hasil tuaian ialah mengikut jenis hasil seperti sayur-sayuran daun, buah, kekacang atau akar umbisi, bijirin seperti padi dan jagung, tanaman komoditi seperti padi, koko dan lada hitam.
Penyimpanan Tanaman Sayur-Sayuran Penyejukan serta merta sebelum penyimpanan hasil tuaian perlu dilakukan dan proses ini dinamakan sebagai prapenyejukan. Proses ini penting dilakukan secepat mungkin untuk mengeluarkan haba dalam sayuran yang baru dipetik.
Tujuannya supaya dapat mengurangkan masa yang diambil untuk menurunkan suhu hasil tanaman ke paras suhu simpanan. Selepas proses pra penyejukan, barulah hasil tuaian dipindahkan ke bilik sejuk untuk penyimpanan seterusnya. Sebelum hasil tuai disimpan, pra penyejukan perlu dilakukan. Proses ini bertujuan untuk mengeluarkan haba ladang pada sayur-sayuran yang telah dituai. Kaedah ini sangat efektif bagi sayur-sayuran berdaun bagi mengekalkan mutu dan kualiti di mana suhu minimumnya dikekalkan.
Kelebihan melakukan kaedah prapenyejukan ini adalah :
• Mengurangkan degradasi enzim dan aktiviti respirasi.
• Mengelakkan kehilangan air (kelayuan).
• Mengelakkan pertumbuhan mikroorganisma pereput seperti kulat atau bakteria.
• Mengurangkan penghasilan etilena (agen pemasakan).
Terdapat beberapa kaedah pra penyejukan yang digunakan antaranya adalah dengan menggunakan pendingin udara dan pendingin air.
1. Kaedah Penyejukan Pendingin Udara
Merupakan kaedah biasa dan murah. Kaedah ini memerlukan bilik sejuk di mana sayursayuran dibungkus di dalam bekas dan disusun di dalam bilik tersebut (Gambar foto 2.56). Perlukan ruang antara bekas yang secukupnya bagi memastikan pengudaraan sejuk dapat meliputi keseluruhan tempat.
2. Kaedah Penyejukan Pendingin Air
Sayur-sayuran yang telah dituai akan disiram atau direndam dengan air sejuk (2o C) selama 5 minit hingga 10 minit. Air sejuk ini akan mengeluarkan haba panas daripada hasil tanaman. Kaedah ini sesuai untuk sayur-sayuran daun.
Penyimpanan Padi
Padi perlu dikeringkan dan dibersihkan daripada bendasing seperti batu, benih rumput, tanah dan batang padi sebelum penyimpanan. Semasa penyimpanan, mutu beras perlu dikawal untuk menjamin kualitinya. Antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah: • Simpan pada suhu rendah iaitu kurang 5o C bagi menstabilkan perubahan dalam kandungan asid lelemak bebas untuk mengelakkan padi menjadi tengik. • Penyimpanan secara pukal memerlukan pengudaraan yang efisien. Pastikan suhu dan kelembapan seragam pada keseluruhan tempat penyimpanan.
Penyimpanan Jagung
Tongkol jagung untuk pasaran tempatan tidak memerlukan kemudahan penyimpanan yang khas sekiranya hasil dapat dipasarkan dalam tempoh yang singkat. Untuk pasaran tempatan, pungutan hasil jagung boleh dijalankan pada waktu petang. Tongkol diisi dalam guni atau raga plastik dan diangkut ke destinasi pasaran pada sebelah malam supaya jualan runcit boleh dijalankan pada waktu pagi keesokannya.
Penyimpanan Koko
Kerja-kerja penyisihan dan pengasingan koko kering daripada biji leper, biji slati (tidak diperam), biji berkulat, biji bergumpal, biji bercambah dan biji yang telah diserang oleh serangga perosak perlu dilakukan sebelum memasukkan ke dalam guni jut. Tempat penyimpanan biji-biji koko hendaklah mempunyai ciri-ciri berikut: • Suhu dan persekitaran yang baik, tidak terlalu lembab. • Bebas daripada serangan perosak, kulat dan lain-lain. • Tidak bercampur dengan hasil tanaman lain seperti lada, kelapa sawit dan lain-lain. • Simpan dalam guni jut (Gambar foto 2.57). • Letakkan guni atas para-para kayu (Gambar foto 2.58). • Pencahayaan yang sesuai iaitu tidak terlampau gelap.
Penyimpanan Lada Hitam
Buah lada hitam yang telah dituai perlu dikeringkan di atas pelantar dan dijemur di bawah sinar matahari. Biji buah lada hitam perlu dikeringkan dengan secukupnya bagi mengelakkan kerosakan akibat serangan kulat atau tercemar. Biji buah lada yang telah dikeringkan secukupnya (12% tahap kelembapan) boleh dimasukkan ke dalam beg-beg plastik bagi mengelakkan penyerapan kelembapan berlaku. Bagi tujuan pemprosesan lada putih, biji buah lada hitam akan direndam dalam air selama beberapa hari sehingga kulit buah mereput keseluruhannya. Selepas itu, buah akan dicuci bersih bagi membuang sisa-sisa kulit yang tertinggal. Lada putih itu akan dijemur hingga kering (12% tahap kelembapan). Biji buah lada putih yang telah kering akan disimpan di dalam beg plastik untuk mengelakkan penyerapan kelembapan berlaku.
Penyimpanan Kelapa Sawit
BTS terus diangkut dan dikumpulkan di kilang pemprosesan seperti Gambar foto 2.59. BTS perlu dihantar ke kilang dalam tempoh 24 jam untuk mengurangkan peningkatan ‘Free Fatty Acid’ yang akan mengurangkan kualiti minyak yang akan diperah.